Saturday, December 6, 2008

Scha Dan Fahrin Serasi Bersama

Sedang ingin berkasih

FAHRIN AHMAD pernah berkata, jika dirinya bertemu cinta baru, akan dipastikan bahawa wanita itu bukan lagi 'teman tapi mesra'. Janji Fahrin juga, jika sudah mempunyai kekasih hati, berita bahagia itu akan dikongsikan dengan semua.

Itu penjelasan Fahrin ketika diusik para wartawan saat dilihat hadir bersama pendatang baru Scha, dalam satu majlis berbuka puasa Ogos lalu. Ketika itu mereka masih teramat baru menjalin persahabatan dan pada masa yang sama, Fahrin baru sahaja diberitakan 'putus kasih' dengan bekas 'teman tapi mesranya', Linda Onn.

Berbulan-bulan membiarkan mereka selesa dengan terma persahabatan yang dibina, baru-baru ini Fahrin rela dirinya disaksikan semua apabila duduk di samping Scha di malam gala tayangan filem Histeria yang menampilkan wanita jelita itu antara pemegang watak utama.

Sah, Fahrin dan Scha sedang di alam romantis! Walaupun dari jauh, gerak-geri dua anak muda ini mudah diteka, mereka tak ubah seperti pasangan yang sedang ingin berkasih...

Dikala hidup sentiasa diperhatikan ekoran perang emosi bersama Linda yang tidak berkesudahan, timbul kisah indah, adakah benar si Fahrin sudah bertemu pengubat duka? Begini penjelasan Fahrin tentang bunga-bunga yang dikatakan sedang berputik di jiwanya.

"Saya tidak pernah hipokrit, saya tulus dan tidak berpura-pura. Kalau saya sedang berkawan baik dengan seseorang, orang lain akan tahu. Begitulah juga dengan persahabatan saya dengan Scha. Perkenalan kami terjalin sejak Ramadan lalu." kata Fahrin.

Bagaimanapun satu sahaja permintaan Fahrin, janganlah buat spekulasi terlalu awal dan memberikan tekanan yang tidak munasabah terhadap hubungan mereka. Sememangnya hubungan mereka sedang berjalan baik.Sejauh mana kayuhan mereka, terlalu awal untuk diterjemahkan.

"Sekali lagi saya tegaskan, ia masih terlalu awal. Berikan kami masa untuk mematangkan dan membangunkan hubungan ini agar lebih teguh lagi," luah Fahrin optimis saat menjawab persoalan yang diajukan.

Fahrin tidak seratus-peratus mengakui secara mutlak tentang perkongsian cinta yang datang bersulam, pun menafikan juga tidak.

Jadi apakah ertinya kehadiran Scha dalam hari-hari Fahrin ketika ini? Sekali lagi istilah pengubat jiwa berbangkit dalam bicara kami.

"Saya bersyukur dengan kehadiran Scha. Tetapi dalam keadaan ini, dalam hati saya langsung tidak ada istilah pengubat jiwa atau pengganti lara seperti mana yang disebutkan segelintir pihak.

"Bagi saya, perkara lalu (hubungan dengan Linda Onn) sudah 'mati' dalam fikiran saya. Fokus saya sekarang adalah untuk masa depan dan mencari yang terbaik untuk masa depan saya.

"Siapapun yang hadir, jika akhirnya dia yang saya pilih sebagai jodoh, maknanya itulah yang terbaik untuk saya," hela Fahrin, 29, dalam nada sedikit bertegas.

Jika di hati masing-masing sudah terukir nama yang satu, apa lagi yang hendak ditunggu, jangan pula padi bertukar hampa.

Bukankah lebih baik keikhlasan hati disatukan menjadi perkahwinan. Namun kata Fahrin, soal jodoh bukan keputusan disatu pihak, ada pihak lain yang turut terlibat. Jadi, biarlah situasi itu datang tanpa perlu digesa.

Dalam bahasa apa sekalipun, luahan Fahrin ini mudah dimengertikan. Fahrin ternyata seorang yang seboleh-bolehnya cuba untuk mengawal situasi. Nyata dia juga sudah banyak belajar daripada kesilapan lalu, setidak-tidaknya biarlah kali ini dia yang mengawal situasi, agar tidak melarut dan merosakkan reputasi.

Menyedari temannya itu masih baru dalam dunia yang memungkinkan banyak sensasi ini, Fahrin juga tidak mahu, kelak Scha pula dituduh mendaki popular bersandarkan kisah cinta.

"Saya percaya, tanpa saya, masyarakat sudah dan mudah mengenali siapa Scha. Mungkin perkara ini berlangsung seiring, kisah kami menjadi perhatian dan dalam masa yang sama, dia ada drama dan filem yang boleh mengetengahkan dirinya. Dia tak perlukan saya untuk popular bahkan dia berlakon lebih banyak filem berbanding saya," ujar Fahrin tergelak mengakhiri penjelasan eksklusifnya kepada Kosmo!

Ibarat orang mengantuk disorong bantal, pengakuan Fahrin ini seperti mengizinkan secara terhormat untuk dia dan Scha digelar merpati sejoli, mereka sama-sama ingin terbang lebih jauh di langit biru mencari dahan yang sama untuk hinggap berteduh.

Scha takut publisiti

Mulanya, dia seperti mana-mana pelakon baru, diberikan watak yang biasa-biasa, sekadar pelakon tambahan menjayakan watak kecil dalam sesebuah drama. Namun ketika ini, ada sesuatu yang menarik perhatian kala berbicara tentang pemilik nama Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir yang lebih mesra disapa Scha ini.

Apatah lagi dengan dua buah filem, Histeria dan Antoo Fighter yang bakal berkunjung ke pawagam tidak lama lagi serta sebuah drama bersiri yang memaparkan konflik anak-anak kapal dalam Awan Dania di Astro Ria, nama Scha kerap bertamu di bibir ramai.

Tetapi apa yang lebih pantas menangkap pancaindera peminat tentang Scha pastinya gosip dan kisah intimnya dan pelakon dan pengacara popular, Fahrin Ahmad. Bahkan ketika ini, ke mana-mana sahaja langkahnya berada, dia sering diusik dengan panggilan nakal Scha-Fahrin!

Bimbang dan sedikit ragu seandainya keterbukaan mahupun sikap berselindung disalah-ertikan mana-mana pihak, Scha menegaskan, dia selesa bertindak mengikut gerak hati.

"Saya tak nak dicop sebagai artis yang cover line, atau yang nak sorok kisah peribadi. Saya tak macam tu kerana saya nak mulakan karier seni secara bersih.

"Saya juga tak nak orang tuduh, dulu cakap lain sekarang cakap lain. Dulu memang kami baru kenal, tapi lama-kelamaan, hubungan ini jalan terus walaupun kami tak pernah rancang apa-apa. Saya sangat okey dengan Fahrin dan kami memang sedang ada hubungan," ucap Scha selamba seperti tahu sangat jawapan itu yang ditunggu-tunggu daripadanya.

Mengakui selesa dan mudah serasi berdampingan dengan jejaka bersusuk tegap itu, di hati Scha sebenarnya ada kebimbangan. Dia seboleh-boleh mahu terhindar daripada dikaitkan dengan masalah yang sedang dialami Fahrin dengan Linda, dulu dan kini.

"Saya tak nak terlibat sebab saya tiada ketika konflik mereka bermula. Tapi untuk bercakap tentang saya dan Fahrin saya tak kisah, cuma masih terlalu baru untuk kami bercakap tentang masa depan," kata bekas pramugari ini berterus-terang.

Dari satu sudut, gadis berusia 25 tahun ini dilihat hadir bersama pakej. Dianugerahkan paras rupa yang tidak kurang manisnya, ada bakat yang boleh terus digilap menjadi antara pesona di bidang seni ditambah pula ada kisah percintaan yang melonjakkan namanya menjadi popular.

Tidak pula malu mengakui anjakan populariti bermula sejak berdekatan dengan Fahrin, kata Scha: "Kalau saya nak mempertahankan bahawa saya dikenali dalam bidang ini semata-mata kerana bakatpun tak boleh juga. Sedikit-sebanyak saya kena akui juga perkara itu.

"Mulanya saya ada rancangan sendiri, nak berlakon drama, kemudian terima tawaran filem, dan kalau ada rezeki nak buat pengacaraan. Dari situ, agenda karier saya akan meningkat peringkat demi peringkat, tapi sekarang dah lain pula jadinya.

"Tiba-tiba semuanya datang serentak, ada drama bersiri, ada filem yang bakal ditayangkan dan ada pula orang baru (yang popular) dalam hidup saya, tapi semuanya, okey. Buat masa ini, tak pula saya tertekan sangat dengan situasi ini. Tekanan sikit-sikit itu biasa dan masih boleh dikawal."

Dalam fikiran Scha kini, dia enggan ada yang kecewa jika ada sesuatu yang tidak diingini berlaku dalam hubungannya dengan Fahrin. Bimbang jika hubungan yang dilihat indah dari luar itu tidak seperti yang disangkakan.

"Saya tahu dia ramai peminat, ramai yang tidak mahu dia kecewa lagi, begitu juga dengan nama baik keluarga, itu yang membuatkan saya takut," tutur Scha membelah isi jiwanya.

Antara perkara yang membuatkan dia cukup selesa dengan Fahrin setelah melihat ketaatan lelaki itu kepada keluarga dan tanggungjawabnya sebagai pemuda Melayu Islam.

"Saya lihat Fahrin tidak pernah engkar dengan tuntutan agama. Solatnya terjaga dan dia sangat taat kepada ibubapa. Memang itu impian semua wanita, untuk mencari lelaki yang terbaik. Tetapi sejauh mana hubungan kami boleh pergi, saya serahkan kepada takdir Illahi," kata Scha dengan bahasa bahagia lewat intonasi kata.- Kosmo